top of page

Jujur aku katakan yang aku sebenarnya takut pada manusia. Aku takut pada mulut jahat manusia yang suka mengata. Aku gusar dengan pandangan manusia yang suka membuat spekulasi yang menghukum seseorang tanpa asas. Tempat yang paling selesa bagi aku adalah tempat yang paling sedikit manusia. Fikir aku, menyendiri itu lebih bahagia daripada dikelilingi manusia.

 

Antara penyebab fobia sosial (atau dikenali juga sebagai Social Anxiety Disorder) ialah kondisi keluarga yang menekan, trauma, keadaan sekeliling yang tidak membina, kurang keyakinan diri dan lain lain. Beban psikologi yang aku alami bermula dari usia 9 tahun menyebabkan sindrom sosial fobia ini makin menapak kuat dalam diri. Kronologi pengalaman hidup yang perit secara berturut turutan menjadikan diri trauma untuk bergaul dengan manusia. Aku alami depresi yang melampau kerana takut dipandang hina oleh orang lain. Aku tidak punya ramai kawan dan kalau ada kebanyakannya adalah mimpi buruk yang aku ingin hindari. Atas sebab itu, aku yang sekarang secara tidak sedar mengamalkan sikap “tidak kisah”. Siapa yang buat baik dengan aku, aku layan baik kembali. Siapa yang tidak suka aku, tidak mengapa dan usah dilayan.

 

Menjelang usia meningkat remaja, aku makin sedar yang aku tidak dapat tidak perlu juga bergaul dengan masyarakat dan manusia sekeliling. Aku cuba bangkit daripada kegelapan lampau untuk mencari kekuatan baru. Dengan izin Tuhan yang A’lim, aku diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh dimana menjadi titik tolak untuk aku bertarung dengan sosial fobia. Bukan senang untuk aku bangkit setelah sekian lama hidup dalam ketakutan pada manusia. Aku cuba bertatih sedikit demi sedikit umpama anak kecil sedang belajar berjalan. Kunci utama yang aku cuba hadam dalam minda adalah tidak perlu terlalu sensitif dalam berkawan dan usah pedulikan umpatan orang.

 

Segala puji bagi Allah yang memberi rahmat dan pertolongan kepada sesiapa yang meminta mahupun tidak meminta. Rezeki untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat adalah peluang terbesar untuk aku mencabar fobia sendiri. Sepanjang proses persediaan adalah tempoh ujian yang sangat berat. Tekanan dan rasa inferior yang sangat tinggi hampir hampir membuatkan aku untuk berputus asa. Hampir setiap malam air mata jatuh tanpa diminta dengan harapan esok diberi kekuatan untuk meneruskan pengajian. Satu satunya harapan yang aku ada ketika itu hanyalah Allah.

 

Pada hari ini, tidak salah sekiranya aku mengakui bahawa aku semakin matang dalam mengawal emosi dan psikologi diri. Dengan bekas kisah silam yang masih bersisa, aku tidak suka berkongsi rahsia dengan sesiapa agar perhubungan tidak begitu akrab. Namun, aku yang sekarang makin suka untuk berkenalan dan mendengar kisah hidup mereka. Lebih lebih lagi apabila berada di bumi asing ini adalah suatu kerugian sekiranya aku tidak merebut peluang ini mengenali pelbagai jenis umat manusia.

Aku & "Social Phobia" ku

AS

Dalam apa apa perhubungan sekalipun tidak sah sekiranya tiada perselisihan faham dan pertelingkahan kecil. Sedang lidah lagikan tergigit inikan pula kita manusia yang tidak lekang daripada kesilapan. Apatah lagi ketika tengah dalam keadaan stress atau ketika jiwa bagai kosong kerana jauh dari Tuhan, semakin cepat untuk terasa dengan sahabat walaupun perkara yang tidak besar mana pun. Persahabatan mana yang tidak pernah dilanda badai,kan? Kerana yang sebenar-benar persahabatan sejati itu adalah yang semakin mendekat dan menenangkan sesudah dipukul ombak. Oleh itu, aku rasa penting untuk kita semua apabila berhadapan masalah dengan kawan agar tidak terlalu mengikut emosi. Cuba bertenang dahulu, muhasabah diri dan melupakan kesalahan kawan itu. Aku tahu bukan mudah untuk berlapang dada dan memaafkan orang lain tapi sekurang kurang ia dapat menyelamatkan ukhwah yang telah sedia terbina.

 

Sebelum diakhiri coretan ini, suka untuk aku ingatkan diri sendiri dan sesiapa yang membaca bahawa bercampur-gaul dengan orang ramai dan menjalinkan tali silaturrahim adalah sangat dituntut dalam Islam (tapi ini bukan membawa maksud dengan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sosial yang tidak berlandaskan syariat). Aku akan terus cuba melawan sosial fobia aku untuk kepentingan akhirat aku selari dengan hadis daripada Ibn Umar r.a yang menyebut,

 

“Seorang Mukmin yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang timbul akibat pergaulan itu, adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang tidak bercampur-gaul dengan orang ramai dan tidak sabar di atas kesakitan akibat pergaulan itu”

(Riwayat Tirmizi dan Majah)

 

“Semua orang buat salah, siapa lah kita untuk menghukum dan merasakan diri kita lebih betul daripada orang lain kerana yang layak menghukum hanyalah Dia yang Maha Menghukum dan Maha Benar.”

 

Peace,

AS

bottom of page