top of page

Sofea

Anon

Jam dah menunjukkan pukul 1.46 pagi dan Sofea masih tak mampu tidur. Pelbagai perkara asyik bermain di fikirannya. Ibu dan Ayah sudah lama dibuai mimpi. Kedengaran sayup-sayup dengkuran halus mereka dari bilik sebelah. Malam yang sunyi itu hanya ditemani bunyi kipas penghawa dingin dari bilik ibu. Kenangan lima tahun lepas berlayar di depan mata. Jelas dan terang seolah ianya baru berlaku semalam. Sofea jahil dulu. Sofea selalunya punya teman lelaki. Pantas sahaja Sofea mendapat pengganti sekali si lelaki mahupun Sofea sendiri menyatakan keputusan ingin berpisah.

Dahulu bagi Sofea, berpegangan tangan itu romantic. Berdating di pasaraya dengan kekasih hati itu membahagiakan. Rasa teruja membiarkan umum tahu Sofea dah berpunya. Rasa bangga bila jalan berpimpinan tangan, erat, konon rasa disayangi, konon rasa dimanjai. Kadang tu, Sofea membenarkan si lelaki mencuit pipi Sofea, konon itu manis. Bodoh sekali Sofea rasakan bila kini diingati. Membiarkan zaman remaja terpalit dengan dosa-dosa. Tak pernah sekali teringat untuk mengasihi Ayah yang harus menanggung dosa yang dilakukan sebab Sofea masih di bawah tanggungan Ayah. Tak pernah sekali terfikirkan ibu, betapa hancur luluhnya hati seorang ibu kalau diketahui berperangai sedemikian.

Pernah dimarahi ibu bila kantoi menelefon lelaki pagi-pagi buta untuk beberapa jam sebab terpapar jelas nombor telefon yang di dail pada waktu pagi untuk beberapa jam. Sofea masih tak mampu berfikiran matang, telefon yang digunakan untuk berbual panjang dengan si lelaki itu merupakan telefon ibu. Singkat sekali pemikiran Sofea kala itu. Dimarahi tapi perbuatan itu masih diteruskan. Tak kenal erti serik. Air mata ada menitis tapi langsung tak terkesan di hati. Yang ada cuma pautan rasa bangga di hati, konon berani mempertahankan cinta. Padahal itu semua cinta yang berakarkan nafsu.

Mungkin kerana Sofea dianugerahkan Allah untuk mempunyai paras rupa yang menarik. Hati jadi bangga, malah gembira bila sering dipuji dulu. Tapi kini, sejak hati Sofea dibalikkan Allah untuk kembali pada yang Esa, Sofea jadi tak gemarkan pujian. Biarlah kata pujian diberikan kepada yang Maha Sempurna.

Sofea selalu cemburukan wanita yang tidak pernah couple. Cemburu. Cemburu kerana mereka berjaya menjaga diri dan Sofea tidak. Percayalah, hidup single hinggalah kita bertemu jodoh yang ditetapkan Allah itu lebih manis. Lagi romantis kalau bisa menyulam jemari dengan satu-satunya yang halal buat kita. Bukan sahaja rasa bahagia, bahkan dirahmati Allah dan pahal turut sama bertambah. Berjalan berdua dengan bidadari pelengkap tulang rusuk atau jejaka yang direstui ibu bapa  di pasaraya dengan senyuman terlakar di wajah itu lebih manis.

Dan Sofea bersyukur, Allah masih sayangkan Sofea biarpun banyak dosa yang telah dilakukan, sedar dan tanpa sedar. Allah masih izinkan Sofea merasakan bagaimana nikmat dan tenangnya hati bila bisa menjaga diri dari sentuhan-sentuhan lelaki ajnabi. Ye, memang manis yang Sofea rasakan dulu bila 24/7 ada lelaki ajnabi yang mengambil berat, sebab fitrahnya seorang wanita adalah sukakan belaian. Tapi, manis lagi bila diri ini terjaga, aurat dijaga dan hati dijaga. Fitrah manusia sukakan kebaikan, percayalah bahawa ketenangan yang akan diperoleh jika kita menjaga dan mengikut suruhan Allah dan perintah agama.

Wallahualam.

Dan akhirnya, Sofea lena diulit mimpi setelah berpuluh kali bibirnya basah dengan kalimat Astagfirullahalazim, Aku memohon keampunan Allah.

bottom of page