top of page

Monolog #2

Yolculuk

“Saya pergi ke Barat, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Timur dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam”

Sedang khusyuk membawa kereta, tiba-tiba keluar kata-kata hikmah ini dalam radio IKIM fm yang membuatkan penulis teringat kembali bumi uncle Sam. Pengalaman 3 tahun belajar di negara orang memang benar-benar satu kenangan yang susah untuk dilupakan. Selain daripada merasai pahit manis untuk sentiasa kekal cemerlang dalam pelajaran, kami juga berpeluang untuk mentadabbur suasana kehidupan rakyat di sini. Sebelum terbang belajar di Ames, banyak kali juga terdengar kisah-kisah kawan yang pernah menuntut ilmu di negara barat. Tentang mentaliti kelas pertama rakyat sana, budaya baik mereka dan suasana persekitaran di sana. Bila kita sendiri dapat peluang untuk memerhatikan sendiri, ternyata kata-kata hikmah ini bukan satu ilusi tetapi memang realiti.

 

Antara budaya baik di Amerika ini ialah budaya sapaan mereka atau dalam Bahasa Inggerisnya “greetings”. Sebagai contoh, setiap kali kami ingin berurusan dengan pihak bank, university atau mana-mana servis perkhidmatan, kami akan disapa dahulu dengan soalan “How is it going?” Setelah selesai urusan, satu lagi sapaan akan muncul, ”Have a nice day”. Teringat satu hadis ,

 

“Kamu tidak akan memasuki Syurga, sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman (dengan sempurna) sehingga kamu saling berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu, apabila kamu melakukannya, kamu saling berkasih sayang? Sebarkan salam diantara kamu

 

Islam sudahpun mengajar kita akan budaya ini tetapi nampak kurang dipraktikkan. Mungkin kurang adil untuk buat justifikasi umum ni sebab sebilangan kita ada yang mengamalkannya. Cumanya, kadang-kadang kita terfikir atas asas apa rakyat amerika ni mengamalkan budaya ini? Bagaimana budaya ini nampak satu kebiasaan bagi mereka?

 

Lagi satu budaya mereka yang sangat baik ialah menahan pintu untuk orang lain. Nampak remeh tetapi sebenarnya besar juga nilainya. Pergilah ke bahagian Amerika manapun, pasti akan ada orang yang menahan pintu untuk anda. Mungkin nampak biasa, tetapi sebenarnya sekecil amalan ini hakikatnya melatih rakyat mereka untuk memudahkan urusan orang lain. Kita selalu dengar, kalau hal kecil pun susah nak tolong, inikan pula hal yang lagi besar. Ini yang sedang diamalkan oleh rakyat di sana.

 

Terdapat banyak lagi nilai-nilai baik yang boleh dikongsikan. Insya Allah akan kami kongsikan lagi di ruangan artikel yang lain. Teringat perkongsian oleh seorang ustaz di Muktamar 2014, umat Islam sekarang lebih sibuk menyampaikan dakwah dengan cara menghukum tetapi kurang menyampaikan dakwah melalui nilai-nilai kemanusiaan. Sudah tiba masanya kita umat Islam berdakwah dengan menerapkan nilai- nilai murni supaya Islam tampak manusiawi dan universal. Tatkala orang atasan sibuk dengan pelbagai drama yang tak kesudahan, mungkin kita masyarakat boleh mulakan. Sedikit demi sedikit, insya Allah lama-lama akan jadi bukit !

bottom of page