top of page

Monolog #1

Yolculuk

   Kata-kata yang nampak ringkas tetapi penuh tersirat. Hanya mereka yang mengembara keluar dari zon keselesaan dapat menerokai hikmah-hikmah alam tersembunyi. Mungkin kerana merantau dapat membantu membuka ruang minda individu. Bangsa yang tertutup ruang fikirannya, memang akan terus kekal di takuk yang lama.

 

       Alhamdulillah, pengalaman menuntut di luar negara memang banyak membuka minda kami sebenarnya. Itupun kalau mahasiswa luar negara itu sedar. Sekadar duduk luar negara tetapi tidak mentadabbur hal-hal sekeliling mungkin tidak mendatangkan apa-apa kesan.

 

       Antara perkara yang boleh kita belajar dari bumi uncle Sam ini adalah budaya wacana ilmiah yang sangat pesat di kampus universiti. Dari sini, memang jelas terserlah peranan universiti sebagai gedung ilmu dan pencerahan masyarakat. Sepanjang semester berlangsung, kecuali musim sejuk, hampir setiap minggu akan diadakan wacana ilmiah seperti syarahan umum, dialog dan debat di kampus. Dari perihal politik, pendidikan, alam sekitar hinggalah keagamaan, hampir kesemua akan diwacanakan. Saya yakin masyarakat di sini percaya penwacanaan ilmu itu penting untuk mencerdikkan masyarakat sekeliling.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Demonstrasi pelajar Iowa State tentang 'student debt'

 

           Paling menarik perhatian penulis adalah sesi syarahan dan debat keagamaan yang berlangsung hampir setiap minggu di kampus. Di hadapan perpustakaan Iowa State University ini, setiap pelajar dari pelbagai agama seperti Kristian, Islam malah golongan atheist akan membuka ‘booth’ masing-masing. Para pelajar lain bebas pergi ke ‘booth’ yang diminatinya dan bebas untuk bertanya atau berdebat apa sahaja berkaitan kepercayaan tersebut. Yang paling dikagumkan adalah kebanyakan sesi tersebut berjalan dalam suasana yang agak terkawal meskipun kadang-kala akan berlaku pertelingkahan. Tetapi ianya tidak sampai ke tahap pergaduhan.

 

        Budaya ini menyebabkan saya terfikir. Mengapa di Malaysia, kita kurang budaya penwacanaan ini terutama dari soal keagamaan? Mengikut pengalaman penulis sendiri, dari kecil, kita (muslim Malaysia) akan dimaklumkan golongan atheist adalah golongan yang tidak mempercayai kewujudan tuhan dan mereka ini harus ditentang. Noktah. Segala hujah mereka jangan dengar. Tidakkah mentaliti ini akan membantutkan dakwah sebenarnya?

 

       Islam juga menganjurkan umatnya untuk berhujah dalam menegakkan dakwah. Misalnya dalam Surah Al-Baqarah ayat 111. Budaya wacana ini sudah sebati dengan masyarakat barat yang sepatutnya diterajui oleh masyarakat muslim terlebih dahulu. Anehnya di Malaysia yang mana Islam adalah majoriti dan telah diinstitusikan kelihatan terbelakang dalam budaya ini. Lagi menghairankan, kita sering didengarkan kononnya begitu banyak Melayu-Islam yang telah meninggalkan Islam walhal wujud pelbagai jabatan, makhamah dan undang-undang khas melindungi agama di Malaysia. Namun di Amerika Syarikat ini, perkara-perkara tersebut tiada di sini. Mungkin yang mereka ada hanyalah badan-badan NGO seperti ISNA, MSA ataupun lokaliti masjid masing-masing. Yang lebih utama dalam melindungi agama mereka di sini seterusnya dapat mengembangkan dakwah mereka adalah mentaliti masyarakat mereka yang sudah matang menghormati suara masing-masing.

 

         Berbalik kepada golongan atheist, di sini saya melihat mereka lebih menggunakan pendekatan hujah dan wacana dalam menghadapi golongan ini. Sebaliknya di Malaysia, saya lebih melihat golongan-golongan yang dikatakan mengancam akidah muslim ini akan terus ditangkap dan dikenakan hukuman. Bukankah Islam yang merupakan majoriti dan dilindungi perlembagaan sepatutnya membuatkan kita lebih berani untuk berhujah dengan mereka?

 

       Andai mengikut sifir mudah, kita akan merasakan golongan atheist ini adalah mereka yang berfikiran dangkal. Tetapi mengikut pengalaman penulis dalam mendengar hujah-hujah mereka, ternyata perbahasan mereka penuh teknikal dan tinggi nilai falsafahnya. Mungkin kerana itu, kita melihat lahir ramai ilmuan islam di barat yang mempelajari kedua-dua aliran baik pengajian Islam mahupun sains sosial seperti Dr Yasir Qadhi, Prof Tariq Ramadan, Imam Zaid Shakir dan Sheikh Hamza Yusuf. Hal ini mungkin kerana mereka nampak keperluan untuk berhujah secara ilmiah dengan golongan ini. Bukan sekadar ambil mudah, tangkap dan memberi hukuman.

 

        Di Malaysia, mungkin ada golongan ustaz yang dinamik seperti ini tetapi jarang kelihatan. Zaman kini, golongan ilmuan Islam tidak hanya boleh menyatakan keharaman sekularisme tetapi apabila ditanya pernahkah membuat kajian mendalam tentangnya, terus tercengang. Apapun saya mengimpikan Malaysia yang lebih baik pada masa hadapan. Saya yakin ini juga cabaran bagi kami, mahasiswa luar negara, untuk membawa budaya baik di sini supaya tajdid masyarakat Malaysia berlaku.

 

- Yolculuk (Sang Fakir Ilmu) -

             

“Pergilah merantau untuk mencari kemuliaan 

karena dalam perjalanan itu ada lima kegunaan, iaitu:

menghilangkan kesedihan, mendapatkan penghidupan, mendapatkan ilmu, mengagungkan jiwa, dan dapat bergaul dengan banyak orang.”

- Imam As-Syafie dalam kitab Diwan As Syafie-

bottom of page