top of page

Perasaan

Syamil Suhaimi

" Tanpa kita sedar, hampir semua tindakan kita dicetuskan dari perasaan. "

 

Mungkin, mungkin ini salah satu hikmah manusia dan haiwan diberikan perasaan dan hanya satu daripadanya dikurniakan akal. Wujud keindahan dalam perlakuan melalui perasaan jika kita mahu memerhati. Namun, ada bahayanya jikalau perlakuan itu tidak disertakan akal mendampingi. Tiga tahun pakcik di Amerika, tiga tahun pakcik diselubungi bermacam perasaan. Perasaan yang mampu memberikan keuntungan andai kita mahu berfikir. Pakcik wish pakcik mempunyai lebih masa.

 

Apabila pakcik berbaring dengan perasaan gundah-gelana untuk menghadapi ujian esok hari, pakcik cuba ingat mak dan abah serta keluarga di kampung. Mereka inilah insan yang selalu mendoakan dan mengharapkan kejayaan dari kita. Pakcik kagum dengan sahabat yang tabah menghadapi dugaan dan sentiasa menggunakan akal untuk merancang perjalanan hidup sebagai pelajar agar lebih tenang dan bersedia menghadapi ujian, seterusnya mampu pulang melihat senyuman kegembiraan keluarga tercinta. Pakcik tidaklah semantap mana, tetapi kepuasan melihat mak dan abah pakcik tersenyum gembira tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Orang putih cakap, Omaigad, I’m speechless.

 

Apabila kita berasa takut dengan ancaman terhadap diri sebagai Muslim, gunakanlah kesempatan yang ada untuk berkongsi keindahan Islam kepada rakan matsaleh kita. Cuba kira berapa nama kenalan matsaleh yang mampu kita ungkapkan sekarang? Andai tidak ramai, inilah masanya untuk keluar dari gua, keluar dari selimut, keluar dari dunia media sosial seketika untuk melihat dunia. Pakcik kagum dengan sahabat yang menggunakan akal untuk berdakwah dan menyampakan berita-berita baik tentang Islam. Pakcik memang confident perlakuan kita dapat mencerminkan agama kita kepada mereka. Dan persepsi sentiasa boleh berubah. Kita mampu mengubahnya. Kadang-kadang kita tidak sedar kita penting kepada dunia lebih dari yang kita sangka.

 

Apabila kita seronok menyumbat makanan ke mulut yang seterusnya ke perut, pernahkah kita terfikir berapa banyak tips yang pernah kita berikan kepada waiter? Silalah angkat tangan andai tangan itu sentiasa menulis nombor satu pada ruang tips atau terus skip kepada ruang tandatangan, sedangkan makanan kita berharga lebih 10 dollar, enak pula, ditambah dengan layanan yang cukup mantap. Pakcik kagum dengan sahabat yang sentiasa pemurah memberikan tips kepada pelayan restoran. Jelas bersinar wajah mereka sambil berkata, Oh thank you so much, I really appreciate it. Jika kita mahu berfikir, nescaya tidak ralat kita meberikan sedikit lebih tips kepada mereka. Pakcik bukanlah kaya, tapi pakcik rasa tidak akan jatuh miskin kalau kita bagi duit monceh yang kita ada sebagai sumbangan kepada mereka.

 

Apabila kita berasa teruja dengan sikap matsaleh yang sentiasa ramah dengan ucapan salam cara mereka, dan kita membanding-banding dengan rakyat di kampung, marilah kita jadikan budaya yang indah itu sebagai amalan kita. Pakcik kagum dengan sahabat yang cuba menyapa rakan-rakan atau paling kurang pun, mengucapkan terima kasih. Amalan ini cukup untuk membuatkan orang lain tersenyum. Manalah tahu orang yang kita sapa itu bakal jodoh kita. Kadang-kadang kita hanya mahu memuji dan mengondem tetapi kita lupa kita mampu mengubahnya. Pakcik sudah kata, kita lebih penting dari yang kita sangka.

 

Apabila kira gembira dengan bermacam-macam program, alangkah indah andai kita terfikir untuk menyertai sama ada sebagai peserta mahupun sebagai jawatankuasa. Terlalu banyak peluang untuk melibatkan diri bukan sahaja di dalam kelab atau persatuan tempatan bahkan pada peringkat universiti, negeri dan juga antarabangsa. Pakcik sangat kagum dengan sahabat yang tidak pernah letih beraktiviti tanpa mengabaikan akademik. Sentiasa memberi inspirasi agar yang lain turut serta aktif. Semuanya antara kita mahu berfikir tentang caranya atau kita hanya mahu terus melayan perasaan.

 

Apabila kita sedang berasa, alangkah indah andai kita berfikir. Hati dan akal adalah kurniaan Allah yang sangat bernilai, penuh dengan hikmah kepada manusia. Keluarlah dari rumah, lihatlah dengan mata, fikirlah dengan akal, dan rasalah dengan hati. Apa pun yang kita rasa, dan apa pun yang kita lalukan, lakukanlah bersama-sama seperti yang disarankan oleh Ella,

 

 "Bersama-sama, Tempuhi segala, Saat gemilang akan tiba,

Kan kita kecapi, bersama."

 

Syamil Suhaimi,

3 November 2015

bottom of page