top of page

Sapa

Syamil Suhaimi

Nama pakcik Syamil. Masa pakcik mula-mula sampai US tiga tahun lepas, sebelum pakcik turun dari kapal terbang, pramugari orang putih tu tegur pakcik. Sudahlah cun, putih pulak tu tapi kata-kata mutiara mak pakcik tetap pakcik pegang, “Jaga iman mil, jangan bawa balik orang putih pulak nanti” hehe. Dia sapa? Masa pakcik sampai Des Moines pun pramugari macam tu perangai dia. Pakcik yang baru sekali dua naik kapal terbang ni terus membuat teori, “Alah, tak mengapa, mesti sesetengah krew kapal terbang macam ni.”

Kawan pakcik bawa pegi Walmart. Maklumlah, budak baru, kenalah beli apa yang patut. Empat ribu dollar dalam poket, apa ada hal? Hehe. Masuk saja Walmart dia buat lagi. Terpacak seorang diri di tengah laluan masuk. Pakcik hanya mampu tersenyum. Semasa tengah tengok-tengok barang, sambil dalam kepala tekun menggunakan kemahiran matematik sekolah rendah mendarab segalanya dengan tiga, maklumlah budak baru, lalu seorang lagi mat salleh. Pun sama. Kenal tidak apa tidak dia buat juga perangai dia. Pakcik ni terkejut pun ada, nak tergelak pun ada. Nak jawab xpandai sangat, tapi tak mengapa, pakcik perhatikan sahaja dulu. Semasa nak bayar, makcik saleh cashier tu pun sama?!! Sapa? Apa Amerika ni? Dua tiga soalan jugaklah pakcik kena susun ayat nak jawab. Tapi tak mengapa, mungkin Amerika memang macam ni.

Pakcik pergi kampus buat kad id, orang-orang di pejabat tak payah cakapla, semua mempunyai perangai yang sama. Resah pakcik dibuatnya. Pakcik ni pendiam, pemalu orangnya. Masa orentasi pun macam tu. Mungkin mereka ni memang kenal pakcik? Stalker facebook pakcik mungkin. Pakcik memang setting everyone can see pada FB pakcik. Mesti orang-orang putih ni dah stalk habis. Maklumlah, Amerika.  Semua boleh. Hehe. Pakcik berjalan di kampus ke kelas, nak masuk kelas pertama boleh pulak sorang lelaki berbadan tegap  melontarkan kata-kata itu kat pakcik. Tertunduk pakcik. Rasanya tak sama tadika dengan dia. Sekolah agama pun dia tak sekelas rasanya. Tapi dia sapa? Kelas dah habis pun dia cakap lagi macam tu? Baru aje kenal dah macam tu?

Tiga tahun pakcik belajar Iowa State, merata pakcik berjalan, ke utara selatan timur dan barat ku jejaki. Semua sama. Pakcik join kelab itu ini, events, games, jumpa orang, kena tahan polis, jumpa admin ISU, jumpa counsellor, jumpa jurulatih,  secara amnya mereka memang suka melontarkan kata-kata macam tu kat pakcik. Bukan pakcik je, kawan-kawan pakcik pun kena. Bila pakcik rapat dengan jiran pakcik, ada tiga orang semuanya, pakcik semakin sedar dan dapat menerima. Mungkin ini cara hidup mereka. Pakcik tak biasa. Mereka sapa? Kita sapa?

Bila pakcik balik Malaysia, pakcik rindu. Mulalah pakcik hargai kata-kata yang dilontarkan kat pakcik. Pakcik rasa dihargai, dirai. Rasa friendly, rasa welcomed, rasa suka.  Sapa mereka?

“Welcome, have a good day, catch you later, how are you doing, how is it going, what’s up man, waddup buddy, thank you so much, thanks man appreciate that, talk to you soon, hey what’s going on, see you man, have a good night, hey nice to meet you, where you from? Alright I’ll see you around, take it easy, did you find everything you want? You want this in the bag? Can I help you with anything? Is everything okay? Drive safe buddy, come again? Could you please say that again? Hey there. Hey, long time no see my friend, what are you up to? There he is! Hey dude! Thank you, I really appreciate that, see you later, gotta go, SSuppp? You need help? Hi, hello…….”

Mereka sapa. Kita sapa?                                                                              

 

Syamil Suhaimi, 30 Oktober 2015

Nantikan pakcik dalam episod akan datang…

“Pakcik dijemput ke rumah mereka, pakcik diminta bawa apa-apa sumber rujukan berkaitan Islam. Pakcik gementar. Mereka duduk di depan pakcik dengan setiap orang memegang sebuah buku kecil. Dia bertanya, So, do you believe in Jesus Christ?…..”

bottom of page